Saturday 26 November 2011

bab 6

"Sofi pergi ambil ubat dekat luar bawa Mia sekali saya nak bersembang dengan Mar ni, lama tak jumpa boleh lah nak borak lama sikit lagipun dia tengah tak ada pesakit sekarang ni", Datuk Saiful menyuruh isterinya mengambil ubat di luar. Damia memberikan senyuman kepada Doktor Umar nampak lesung pipinya, sepatutnya dia mengucapkan terima kasih kerana telah merawatnya. Terkedu Doktor Umar melihat Damia senyum padanya, manis wajahnya, desis hatinya.
Danish berdehem, dia perasan yang Doktor Umar tidak lepas memandang adiknya, Damia pula seakan mengenali doktor muda itu. Doktor Umar malu sendiri dengan kelakuannya, nasib baik Datuk Saiful tidak perasan kelakuannya.Tetapi dia memang pernah melihat wajah itu tetapi dia tidak pasti di mana. Doktor Umar nekad dia mesti cari tahu, tentang Damia, walaupun Datuk Saiful berkawan rapat dengan ayahnya tetapi dia tidak pernah melihat Datuk Saiful membawa anak-anaknya jika bertandang ke rumahnya kerana itu dia tidak mengenali Damia dan Danish.
Datuk Saiful terkejut mendengar tentang kematian rakan baiknya itu, patutlah dia tidak mendengar khabar berita daripada rakannya itu. Ada juga dia mencari kembali rakannya tetapi tidak di temui. Berkaca juga mata Datuk Saiful, Danish mennggosok-gosok belakang Datuk Saiful. Danish turut tersentuh mendengar tentang kisah persahabatan papanya dengan arwah ayah Doktor Umar. Klinik ini memang kepunyaan Doktor Umar setelah tamat belajar di UK, terus dia membuka klinik ini, dengan sedikit modal dan ditambah dengan duit peninggalan arwah ayahnya Doktor Umar membuka kliniknya sendiri.
Arwah ayahnya sudah tahu akan hajatnya untuk membuka klinik sendiri, kerana itu dia mewasiatkan semua hartanya kepada Doktor Umar, kerana Doktor Umar adalah anak tunggal tidak mempunyai saudara lain. Doktor Umar mengesat airmatanya setiap kali teringat tentang ayahnya. Danish turut mengesat airmatanya, hari itu dia menjadi kawan kepada Doktor Umar, sambil-sambil tu boleh lah dia bertanya kepada Doktor Umar tentang hubungannya dengan Damia.
Kelihatan Damia sedang baring di atas riba Datin Sofea, Danish dan Datuk Saiful meminta diri untuk pulang, sekali lagi Datuk Saiful dan Doktor Umar berpelukan. Datuk Saiful menghulurkan duit untuk membayar harga ubat Damia, tetapi ditolak oleh Doktor Umar sedekah katanya, Datuk Saiful tetap memberikan duit itu, sedekah katanya. Kedua-dua mereka tersenyum.
Sebelum Damia melangkah keluar daripada klinik itu, sempat lagi dia memandang Doktor Umar, kebetulan Doktor Umar turut membalas pandangan Damia dan melambai-lambai tangannya, Damia membalasnya dengan senyuman. Entah kenapa dia rasa bahagia apabila memandang wajah Doktor Umar, berseri-seri wajah itu, dengan kumisnya yang nipis membuatkan dia kelihatan matang. Sepanjang perjalanan pulang, Damia tidak bersuara langsung, muram saja mukanya, macam orang baru lepas bersalin. Tiba-tiba handsetnya berbunyi, tertera 'My Honey', berat rasanya nak menjawab panggilan tersebut, dia memandang sepi handsetnya yang sedang berbunyi.
Lega rasanya, deringan telefonnya berhenti, tidak sampai beberapa minit berbunyi lagi. Danish yang duduk di sebelahnya heran memandang adiknya, selalunya kalau tunang dia yang telefon capat saja angkatnya ni lain pula perangainya. Damia menghulurkan telefonnya kepada Danish menyuruh abangnya menjawab panggilan itu. Danish mengalah, dia faham adiknya tengah tiada mood nak melayan orang.
"Kenapa tak angkat telefon tu, campak je dalam longkang!", sebaik sahaja Danish menjawab panggilan itu, tak sempat nak memberi salam, Amierul Ashraff menyapa dengan suara yang kasar.
"Bukan dia tak nak angkat, tapi dia tengah sakit sekarang ni", Danish memberitahu perkara yang sebenar.
Damia menjegilkan mata ke arah abangnya, bukan dia tidak mahu Amierul Ashraff tahu tentang sakitnya cuma dia tidak bersedia nak melihat wajah lelaki itu, dengan keadaan dirinya yang serabut malu la nak jumpa tunang kalau macam tu. Damia pasti malam nanti mesti terjegul Amierul Ashraff di rumahnya.
"Ye ke bang, kenapa tak bagi tau saya, risau saya ingat ke Mia memang sengaja tak nak jawab panggilan saya", Amierul Ashraff rasa bersalah kerana meninggikan suaranya tadi. Nasib baik bukan Damia, kalau Damia yang jawab tadi pasti tunangnya itu merajuk, dah la tengah sakit.
"Dia tak larat sangat tadi sampai menangis, tu yang tak sempat nak bagi tau kau tu", Danish membela adiknya. Tiba-tiba Danish tersengih, dia terbocor rahsia yang Damia menangis tadi, nasib baik perlahan saja suaranya kalau Damia dengar apa yang dia cakap kepada Amierul Ashraff teruk dia kena nanti.
"Tak apa la, nanti saya pergi rumah, tak senang duduk saya kalau tak tengok sendiri keadaan Mia", selepas memberi salam, dan meminta maaf atas kekerasannya tadi, Amierul Ashraff mematikan panggilan.
Danish memulangkan kembali telefon kepada Damia, kesian pula melihat adiknya tersandar saja, perlahan-lahan Danish menarik bahu adiknya menyuruh Damia bersandar di dadanya selesa sikit. Damia menurut, dia bersandar di dada abangnya, memang selesa sangat. Danish memicit-micit kepala Damia, sungguh dia tidak tahu yang adiknya ada penyakit serius, Damia pula jenis yang suka menyimpan, terkejut juga dia bila Doktor Umar beritahu tadi.
Sampai saja di rumah, terlihat Amierul Ashraff sudah pun menunggu di taman mini di rumahnya. Meluru Amierul Ashraff mendapatkan Damia yang kelihatan tidak bermaya, Amirul Ashraff membuka pintu belakang, terkejut Damia melihat Amierul Ashraff, kiranya malam nanti baru datang rupanya belum sempat malam dah sampai, cepat sungguh. Damia membuat muka bosan melihat Amierul Ashraff. Panjang langkahnya masuk ke dalam rumah, rasa macam nak tidur saja waktu ini. Malas mahu berjumpa sesiapa pun walaupun Amierul Ashraff, tetapi dia sememangnya amat merindui wajah itu.
Damia meninggalkan Amierul Ashraff di luar bersama Danish. Amierul Ashraff terpinga-pinga dengan perangai Damia yang berubah, seperti dia ada melakukan kesalahan yang besar. Danish menepuk bahu Amierul Ashraff menyuruhnya bersabar, kena gaya elok la nanti.
"Sayang kenapa ni?", lembut Amierul Ashraff bertanya, dia mengambil tempat di sebelah Damia yang sedang berbaring. Terpaksa la dia bangun untuk memberi ruang kepada Amirul Ashraff duduk.
Damia tidak menjawab pertanyaan Amierul Ashraff, sakit kepalanya belum lagi elok, ubat yang Doktor Umar bagi tadi pun bersepah di atas meja tidak disentuhnya pun. Danish memandang adiknya, terpikir juga apa yang membuat adiknya berperangai seperti itu, mungkin dia tidak pernah sakit sampai lebam-lebam.
"Sayang, jangan buat abang macam ni, risau abang, Mia sakit apa kenapa tak bagi tau abang, leher tu sampai lebam-lebam", Amierul Ashraff memegang tangan Damia.
"Bukan orang tak nak bagi tau, sakit sikit je, abang Ash tu je nak wat cerita gempak", serak suaranya.
"Yeke, abang Ash cakap Mia menangis tadi", Amierul Ashraff mencuit hidung Damia, lalu tersenyum.
Damia memandang abangnya, memang mulut tempayan betul, semuanya nak cerita, Danish tersengih melihat Damia, dia meminta maaf bukannya sengaja, tercakap. Nasib baik Damia tidak berdaya nak melawan balik, kalau tidak teruk la Danish kena dengan Damia.
"Ha honey pun nak gelak la kan dengar orang menangis, mesti honey nak cakap orang mengada sakit sikit pun nak menangis", Damia menarik muka, muncung mulutnya.
"Mana ada, abang risau lagi dengar Mia menangis, tengok mulut tu, nak kena ni", Amierul Ashraff muncungkan bibirnya juga.
"Eiii honey ni", Damia menutup mulut Amierul Ashraff yang sikit lagi nak bertemu dengan bibirnya.
Amierul Ashraff ketawa melihat wajah Damia, lucu sungguh. Tiap kali bersama Damia mesti dia akan ketawa, Damia mudah membuat orang yang rapat dengannya ketawa dengan kelakuannya yang seperti anak kecil.
"Dah la tu, ish nak duduk dekat Tanjung Rambutan ke, hari Sabtu ni nak balik kampung nanti orang hantar honey dekat sana", Damia melihat Amierul Ashraff mengesat airmatanya, sampai macam tu sekali dia ketawa.
"Mia tak rindu dekat abang ke, sampai hati nak hantar kat sana", Amierul Ashraff menundukkan mukanya. Sebenarnya dia rindu hendak mendengar pujukan Damia, sebab itulah berpura-pura merajuk.
Damia bangun lalu mengetuk kepala Amierul Ashraff dan berlari ke biliknya, Amierul Ashraff mengejar Damia yang sudah pun berada di tingkat atas. Ingat ke nak pujuk rupanya diketuk kepala tunang sendiri. Amierul Ashraff memeluk Damia dan menggeletek pinggang Damia, tidak cukup nafas Damia ketawa, puas Amierul Ashraff dapat menggeletek Damia.
Danish keluar dari biliknya setelah mendengar bunyi bising. Dia melihat Amierul Ashraff sedang mengusik Damia, bahagia sungguh, tetapi pelukannya telah dileraikan, tak baik peluk anak dara orang. Danish bersandar di pintu biliknya melihat Damia, tadi muka masam macam cuka, datang Amierul Ashraff sekejap saja dia sudah boleh ketawa.
"Jadi ke nak balik kampung sabtu ni?", Amierul Ashraff menarik tangan Damia duduk di sofa, di ruang tamu tingkat atas.
"Mestilah, honey dah tanya uncle Azaham ke belum?", Damia kembali ramah.
"Kenapa panggil uncle lagi ni, panggil ayah la, dah tanya dah, dia cakap okey je nak cuti sebulan pun tak apa", begitu la perangai Amierul Ashraff, semuanya nak kena ada panggilan seperti yang dia panggil.
"Dah kemas baju ke belum, esok dah hari Sabtu, nanti orang naik dengan abang Ash tau", prihatin betul, Danish yang berkali-kali menyuruhnya tolong kemaskan baju tidak juga dibuatnya.
"Ala kenapa naik dengan abang Ash pulak, naik dengan abang, teman abang berborak, sunyi la nanti bawak kereta sorang-sorang", Amierul Ashraff memujuk Damia.
"Macam ni la, mula-mula Mia naik dengan abang dulu, lepas tu, kita berhenti dekat mana-mana Mia naik dengan honey pulak boleh?", Damia senyum melihat Amierul Ashraff, mahu mengambil hati.
"Janji?", Amierul Ashraff menyuakan jari kelingkingnya. Damia mengikat janji.
"Ha, Amierul, tidur la dekat sini, esok boleh bertolak sekali", Datuk Saiful memberi cadangan.
Damia meninggalkan Amierul Ashraff bersembang dengan papanya, dia mahu membersihkan diri serta makan ubat, kalau tidak dimakan nanti mulalah semua orang nak membebel terutamanya Datin Sofea, sampai esok dia ungkit nanti. Dia bercuti dari melakukan solat, sebab itu juga lah dia mudah letih dan mahu marah-marah saja. Damia melihat di hadapan cermin di biliknya, masih terdapat kesan biru, dia menyapu ubat yang diberikan oleh Doktor Umar.
Tentang Doktor Umar sudah pun dilupakannya, hilang sudah bayangan wajah doktor itu setelah berjumpa dengan Amierul Ashraff. Damia kembali memakai tudung, kerana Amierul Ashraff masih berada di rumahnya. Dia masih tidak boleh menunjukkan auratnya kepada Amierul Ashraff kerana mereka masih lagi bukan mahram. Damia melihat jam ketika hendak turun ke bawah, sudah pun pukul 8.00 malam. Dia menjenguk ke luar, kereta Amierul Ashraff masih berada di rumahnya bermakna dia belum pulang, mungkin tengah solat kerana di ruang tamu tiada orang, papa dengan mamanya pun tidak kelihatan.
Damia berlalu ke dapur untuk memasak, dia membuka peti ais mengeluarkan bahan-bahan untuk masak. Masakkannya hari ini mudah saja, sup campur dan ayam goreng, malas nak masak special sangat. Sejak dia masak tempoh hari, dia ditugaskan untuk masak, tidak kira masa bila, tengah hari ke, malam ke semua dia kena masak. Kadang-kadang saja Datin Sofea membantunya, itu pun tolong membuat air saja.
Damia mendengar derap tapak kaki orang, Damia memandang ke kiri, Danish rupanya. Danish memegang perutnya, lapar sangat la tu, terus dia melabuhkan punggungnya di kerusi di meja makan, cepat tangannya menyenduk nasi dan meletakkan di pingannya. Baru nak menyuap, Damia menepuk tangan abangnya. Danish menjegilkan matanya, baru dia perasan yang semua ahli keluarganya belum serta. Damia menaiki tangga ke tingkat atas untuk memanggil mama dan papanya. Semasa menaiki tangga dia berselisih dengan Amierul Ashraff yang baru saja lepas solat, dia menyuruh tunangnya itu pergi ke meja makan.
Damia mengetuk pintu bilik mama dan papanya sebelum masuk. Dari kecil lagi dia sudah diajar mengetuk dulu sebelum masuk. Datin Sofea sedang mengemas pakaian untuk pulang ke kampung esok hari, Datuk Saiful turut membantu mengemas, Damia memuji keteguhan kasih-sayang orang tuanya, walaupun umur mereka sudah lanjut, kasih-sayang mereka masih utuh.
"Kenapa Mia?", tanya Datin Sofea.
Datin Sofea menyuruhnya masuk, dia duduk di atas katil bersama-sama mama yang sedang melipat baju untuk di masukkan ke dalam beg. Damia memandang wajah orang tuanya silih berganti.
"Mama dengan papa tak nak turun makan ke, abang dah bising tu", Damia memeluk lengan papa dan mamanya.
"Abang kamu tu memang, tak boleh sabar langsung", balas Datuk Saiful.
"Jom la", Damia mengoyang-goyangkan lengan papa dan mamanya.
Datuk Saiful dan Datin Sofea mengekori Damia turun ke bawah. Bukan boleh berlama sangat anak sulung mereka memang tidak betah jika menunggu orang lain. Mereka melihat ketidakpuasan Danish, bengis wajahnya.
"Jom kita makan, orang dah kebulur dah ni", mendatar suaranya.
Damia menepuk belakang abangnya, agak kasar tutur katanya. Depan Amierul Ashraff pula tu, tu la satu-satunya perangai buruk Danish. Damia menyendukkan nasi untuk Amierul Ahsraff,  dan mengambilkan lauk untuknya. Amierul Ashraff tersenyum senang melihat Damia, tidak kekok untuk melayannya. Beruntung dia dapat memiliki Damia, orangnya sopan, ketika melayan ibunya semasa majlis pertunangan mereka, dia dapat melihat Damia melayan ibunya dengan sopan sekali. Ibunya pun amat menyukai Damia, tidak sabar nak bermenantukan Damia.
"AAAAARK!!", Danish sendawa, kuat.
Semua mata menghala ke arahnya, tak reti nak ucap syukur pula tu, sengih pula bila dah kenyang. Amierul Ashraff juga tersandar kekenyangan tapi tidak la seperti Danish tak sopan langsung. Amierul Ashraff menerima pelawaan Datuk Saiful untuk tidur di rumah Damia, malam itu dia pulang sekejap untuk mengambil beg pakaian dan balik ke rumah Damia semula. Setelah selesai makan, Damia dan Datin Sofea mengemas dan membasuh pinggan mangkuk.
"Dik", panggil Danish setelah melihat Damia selesai mengemas.
"Apa?", sahut Damia.
"Jom tolong abang kemas baju?"
"Okey, jom la, cepat dah pukul berapa dah esok nak bangun awal, abang nak drive lagi nanti mengantuk dah jom cepat"Damia menarik tangan abangnya yang masih lagi bersantai duduk di ruang tamu.
Damia menguak daun pintu bilik Danish, kagum dia melihat kebersihan bilik abangnya, kemas saja, dengan dinding yang berwarna biru laut memang luas saja mata memandang. Semua barang keperluannya di susun rapi, katilnya juga kemas saja. Damia mengeluarkan beg untuk di bawa pulang ke kampung, sementara Danish pula mengeluarkan baju-baju yang hendak di pakai di sana nanti.
Damia melipat baju-baju abangnya dan dimasukkan ke dalam beg berjenama Polo itu. Beg itu Danish beli semasa dia mendapat gaji pertamanya, dan juga beg Damia dari jenis yang sama, warna saja yang lain, Danish punya berwarna merah Damia pula berwarna merah jambu. Selesai mengemas pakaian Danish, dia berlalu ke biliknya pula untuk mengemas pakaiannya.
Tergaru-garu kepalanya, pening nak bawa baju yang mana, setiap kali hendak pulang ke kampung, itu sajalah masalahnya, tapi kalau dah bawa baju tu, penuh satu beg tak tahu la apa yang di masukkannya. Dalam sibuk mengemas, tiba-tiba telefonnya berbunyi siapa lagi kalau bukan My Honeynya yang menelefon malam-malam macam ni.
"Hai sayang, buat apa tu", suara Amierul Ashraff kedengaran di talian. Duduk satu rumah pun nak telefon ke, bilik sebelah-sebelah saja. Bilik Damia di antara bilik Danish dan bilik tetamu, bilik yang Amirul Ashraff diami itu bilik tetamu.
"Tak de salam ke, tengah mengemas la takkan la basuh kain pula malam-malam ni", Damia menyindir selalunya alim sangat bila Damia tidak memberi salam terlebih dahulu sebelum bercakap kena la dengan ceramah percuma daripada Amirul Ashraff.
"Ala, marah pula dia, datang bulan la tu", selamba saja ayat yang keluar dari mulut Amierul Ashraff.
Terbeliak mata Damia mendengar, macam tahu-tahu saja yang dia tengah lampu merah, pandai betul kaum adam ni meneka. Mesti la boleh agak, bila marah-marah saja mesti nak kaitkan dengan datang bulan.
"Mana ada pandai-pandai aja", Damia menutup malu.
"Honey tak tidur lagi ke, dah lewat ni, esok nak bangun awal kan", sambung Damia lagi, dia yang dah mengantuk tetapi sengaja cakap macam tu nak suruh Amierul Ashraff menamatkan panggilan.
"Memang nak tidur dah pun tapi saja abang nak dengar suara Mia dulu baru la lena tidur, Mia pun jangan la tidur lewat sangat habis kemas tu terus tidur"
"Baik bos", lega Damia.
"Okey bye sayang", Amierul Ashraff menamatkan panggilan.
Damia tidak bisa lagi menahan kantuk, selesai saja mengemas dia terus merebahkan badan di atas katil sambil memeluk patung besar pemberian abangnya. Comel sungguh lagaknya tidur bagai anak-anak kecil saja.




RIUH-RENDAH rumah Damia dengan suara Datin Sofea. Datin Sofea mengarah Danish dan Amierul Ashraff mengangkat beg-beg masuk ke dalam bonet kereta. Damia masih lagi berada di dalam bilik bersiap, biasa la kalau orang perempuan tu, bersiap punya lama. Datin Sofea dan Datuk Saiful sudah pun berangkat. Danish sedang menunggu Damia di dalam kereta, Amierul Ashraff pula pergi melihat Damia di dalam biliknya.
"Lambat nya bersiap", Amierul Ashraff menguak pintu bilik Damia.
Pantas tangan Damia menyapai tudung yang terdampar di atas katilnya, dia lambat kerana dia menggosok baju kurung dan tudung yang hendak di pakainya, semalam dah terlalu mengantuk dia terus tidur tidak sempat nak menggosok baju dan tudung. Amierul Ashraff menjengukkan kepalanya ke dalam bilik Damia. Dia melihat Damia sedang memakai tudung berwarna kuning lembut dengan baju kurungnya yang berwarna jingga, nampak manis saja.  Amierul Ashraff perasan yang warna tudung yang dipakai oleh Damia adalah warna kesukaannya, dia tersenyum melihat Damia yang leka memakai tudung.
Setiap gerak geri Damia dia tengok. Damia tidak memakai alat solek, dia cuma mengoles sedikit pelembab bibir dan memakai gelang yang tertulis namanya di situ. Di meja soleknya pun ada gambar Amierul Ashraff di dalam bingkai gambar berbentuk hati. Amierul Ashraff berdehem, Damia menoleh ke belakang dia tersenyum, dia sudah tahu yang Amierul Ashraff sedang melihatnya tetapi dibiarkan saja. Dia sengaja memilih tudung warna kesukaan tunangnya, pasti Amierul Ashraff menyukainya.
"Nak apa ni, tunggu la dekat bawah orang dah siap dah ni", ujar Damia.
"Ye la orang dah tak nak kita ada dekat sini, tak pe lah", Amierul Ashraff berpura-pura sedih.
Damia tidak termakan dengan kata-kata Amierul Ashraff, sebaliknya Damia keluar dan terus mengunci pintu. Amierul Ashraff mengekori Damia yang sedang memeriksa semua pintu berkunci atau tidak, termasuklah bilik Danish, dia tu selalunya tidak mengunci pintu bilik. Damia menyuruh Amierul Ashraff keluar dahulu kerana dia hendak mengunci pintu utama rumah dan pagar. Dia akan menaiki kereta Danish dahulu di perhentian Bidor nanti, dia akan naik kereta Amierul Ashraff pula. Mereka telah berbincang semalam, Danish dulu yang meminta dia menemani kerana abangnya itu cepat mengantuk kalau bawa kereta perlahan.
Amierul Ashraff mengekori kereta Danish dari belakang, dua-dua tidak mahu mengalah, sekejap potong, mentang-mentang la jalan highway suka hati saja nak tekan minyak tu. Damia yang duduk di sebelah, kakinya asyik nak tekan break saja, padahal bukan dia yang bawa kereta tu. Dia menyuruh Danish berhenti di stesen minyak Petronas kerana dia mahu ke tandas dan membeli sedikit kudapan untuk dimakan di dalam kereta nanti, sementara Danish pula mengisi minyak kereta senang lepas ini tidak perlu berhenti lagi, jimat masa.
Dalam masa tiga jam lagi mereka akan sampai ke kampung Damia. Damia menaiki kereta Amierul Ashraff pula. Sepanjang perjalanan kedua-duanya diam membisu, Damia pula memicit-micit kepalanya yang berdenyut. Nasib baik la dia ada membawa Panadol ke mana saja dia pergi, kerana migrainnya datang tidak menentu. Cuaca terlampau panas pun boleh jadi sebab juga.
"Pening kepala ke?",tanya Amierul Ashraff prihatin. Dia juga sudah perlahankan keretanya.
"Biasa la, pening sikit je, nanti baik la, dah pandang depan la bawak kereta, orang okey jangan risau", Damia menolak pipi Amierul Ashraff ke hadapan.
Amierul Ashraff memberikan senyuman kepada Damia. Sebab itulah wajahnya manis saja suka sangat senyum, senyum itu kan satu sedekah juga. Damia terlelap, kerana makan Panadol tadi, yang paling seronoknya, baik punya dia bersandar di bahu Amierul Ashraff. Tidak boleh buat teman langsung, kereta berjalan, mata dia pun tertutup. Amirul Ashraff sekadar senyum melihat Damia, sudah banyak kali dia perhatikan, setiap kali Damia tertidur mesti bahunya yang menjadi pelapik kepala Damia.
Sebelah tangannya mengelus lembut pipi Damia, lena sungguh tidurnya. Sesekali terdengar dengkuran halus dari Damia. Amierul Ashraff kembali menumpukan perhatiannya terhadap pemanduannya. Danish pula sudah tidak nampak bayang, tidak tahu ke mana.
Datuk Saiful dan Datin Sofea sudah pun sampai. Semua menanti kepulangan mereka di beranda rumah. Turun saja dari kereta, meluru Datin Sofea mendapatkan emaknya, mereka sudah lama tidak berjumpa, bercakap di telefon saja. Dua beranak itu berpelukan erat, Datuk Saiful pula bersalaman dengan mak mertuanya. Datin Sofea menjadi anak yatim sejak dia berumur dua tahun lagi, dia anak bongsu, semua memanggilnya adik, sampai sekarang panggilan itu sudah sebati dengan dirinya.
Mereka menunggu Damia dan Danish pula. Amierul Ashraff menelefon Danish supaya menunggunya di hentian Sugai Perak kerana dia tidak tahu jalan nak ke kampung Damia, tuannya tidur pula. Sampai saja di Sungai Perak, Danish mahu mengejutkan Damia tetapi dihalang oleh Amirul Ashraff. Dia memberitahu Danish yang Damia pening kepala sebab itu dia tertidur. Amierul Ashraff dan Danish minum dahulu sebelum meneruskan perjalanan yang mengambil masa selama dua jam lagi.
"Puas dah tidur?", Amierul Ashraff bertanya kepada Damia sebaik sahaja dia melihat Damia terjaga.
Damia tersenyum. Tekaknya terasa perit, dia minum air yang dibelinya semasa perhentian tadi. Lega rasanya apabila air masuk ke tekaknya. Ralit Damia memandang Amierul Ashraff di sebelahnya, bentuk mukanya panjang dan bersih, hidungnya sedikit mancung. Persis seperti pemain bola kelab Real Madrid, Christiano Ronaldo. Teringat masa di bangku sekolah dahulu. Setiap kali abangnya membawa balik surat khabar, pasti dia akan membelek di bahagian sukan, bukan hendak membaca isinya sebaliknya dia mencari gambar pemain pujaannya itu, dan menguntingnya.
Damia akan menampal di kertas A4, dia mengumpul semua gambar Christiano Ronaldo, Damia akan menyimpan gambar-gambar itu, apabila dia merindui Amierul Ashraff dia akan melihat gambar Christiano Ronaldo, sehingga sekarang dia masih menyimpan semua itu. Semasa Piala Dunia berlangsung, memang banyak gambar-gambarnya, seronok Damia dapat menggunting gambar itu, kadang-kadang kawan-kawannya juga turut memberikan gambar kepada Damia.
"Rindu ke nak tengok muka abang ni, dari tadi abang ada kat sebelah Mia ni, tak pergi mana pun", Damia malu sendiri, dia sering tertangkap semasa merenung wajah Amierul Ashraff.
"Yang, abang takut la nak jumpa nenek dengan keluarga Mia nanti", Amierul Ashraff menyatakan kegusarannya.
"Nak takut apa, tok okey la, keluarga Mia pun open minded jangan risau", Damia memujuk Amierul Ashraff.
"Ada awek cun tak kat sana?", Amierul Ashraff mengenyit mata kepada Damia, sengaja mahu mengusik tunangnya itu.
"Kenapa dah gatal sangat dah", balas Damia geram.
"Dia ni memang nak kena jugak, marah ke, merajuk ke sama je, mulut tu mesti kena muncung, abang tau la Mia nak suruh abang cium, sabar-sabar la, dah sah nanti hari-hari abang mau", makin galak Amierul Ashraff mengusik.
Dia suka melihat wajah Damia ketika merajuk, comel sangat. Dia pula akan memujuk, bukan susah pun nak pujuk Damia, panggil sayang cair la dia. Bila dia tersenyum pasti terserlah lesung pipitnya. Walaupun Damia dari golongan yang berada tetapi sifat ketimurannya masih terserlah dalam dirinya, tengok sajalah hari ini, dia memakai baju kurung, manis sungguh. Tidak seperti sesetengah anak gadis yang pakaiannya menjolok mata, bila berlakunya kes rogol kaum lelaki yang akan di salahkan, padahal wanita yang menggoda dahulu.
"Lepas kilang mancis depan tu nanti, masuk kanan", Damia memberi arah ke kampungnya.
Amierul Ashraff memperlahankan kereta takut terlepas nak masuk simpang yang dikatakan Damia tadi. Apa yang dilihat oleh Amierul Ashraff, kampung Damia ini, tidaklah terserlah kekampungannya, lebih kepada pekan, boleh dikatakan semua mempunyai kereta dan rumah batu. Rumah Damia juga rumah batu, besar rumahnya, tetapi masih ada pokok-pokok seperti pokok rambutan, durian, manggis, bila musim buah-buahan mesti semua duduk atas pokok.
Sebaik sahaja masuk ke halaman rumah Damia, semua keluarga sudah pun menunggu mereka, Danish pun sudah sampai. Amierul Ashraff mematikan enjin keretanya, berdegup-degup jantungnya nak berjumpa dengan keluarga Damia. Damia keluar dari kereta, meluru dia mendapatkan neneknya, lalu bersalam, rindu rasanya, sudah lama dia tidak berjumpa dengan neneknya.
Amierul Ashraff juga bersalam dengan nenek Damia, ternyata penerimaan nenek Damia terhadapnya amat baik. Senang hatinya, Damia juga memperkenalkan dia dengan abang Mat yang menelefonnya hari itu.
"Abang ni la tunang Mia, dia cemburu Mia panggil abang dekat abang", Damia memeluk bahu abang Matnya.
"Kau tak payah nak cemburu dengan abang, dia memang panggil aku abang pun", abang Mat bersalam dengan Amierul Ashraff.
"Honey, ni sepupu Mia, yang paling rapat dengan Mia, Mira nama dia", Damia memperkenalkan Mira pula, sepupu yang paling rapat dengannya, mereka digelar kembar tidak seiras. Bila dah berjumpa, macam-macam cerita yang keluar, bila kelakar sikit, gelaknya tidak ingat dunia dah sampai semput-semput.
"Hai, Acap", Amierul Ashraff menghulurkan tangan.
"Bukan mahram, jangan mengada nak salam", Damia menepuk tangan Amierul Ashraff.
Amierul Ashraff malu sendiri, entah macam mana dia boleh nak bersalam dengan sepupu Damia, dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Danish menyuruhnya mengeluarkan barang-barang di dalam bonet kereta.
"Segak, tunang hang na", Kak ija menolak bahu Damia. Mereka duduk di beranda rumah, termasuklah Mira.
"Yeke segak, macam bangla yang kerja dekat kilang Rusch tu je", selamba je ayat dia.
"Amboi kutuk abang nampak, yang dia duk tampal gambar Ronaldo tu apa cerita, tak nak mengaku dia tampal gambar Ronaldo tu pasal angau dekat abang la kan", tiba-tiba saja dia muncul dekat depan mata, terus duduk menyertai mereka sekali.
"Teruk la hang ni Mia", Mira menunjal kepala Damia.
"Kau percaya la cakap Acap ni, masa bila pulak aku angau dekat dia tampal gambar Ronaldo", Damia menafikan yang sebenarnya.
"Malu la tu nak mengaku", Amierul Ashraff menolak bahu Damia.
"Yeye orang mengaku puas", balas Damia sebal.
"Mira, jom pi rumah hang, tunggu abang wira, aku dah lama tak jumpa dia rindu pulak rasanya",Damia sengaja menekankan perkataan abang wira itu, sengaja dia nak bagi cemburu Amierul Ashraff. Damia melirik muka Amierul Ashraff yang sudah mencuka.
"Hang ni tak bek tau", Mira menegur Damia perlahan, kesian pula dia melihat muka Amierul Ashraff.
Damia tidak memperdulikan kata-kata Mira sebaliknya dia menarik tangan Mira pergi ke rumahnya yang terletak bersebelahan dengan rumah tok Damia. Abang Mat dan kak Ija turut menyertai mereka, mereka duduk di buaian di rumah Mira. Damia membuka tudung yang membaluti kepalanya, panas rasanya, itu juga salah satu sebab dia mengajak Mira ke rumahnya, dia mahu membuka tudung kerana di situ semua mahramnya, di depan Amierul Ashraff dia masih memakai tudung.
Terasa segar menyedut udara segar di kampungnya, cuacanya pun tidak sepanas di Kuala Lumpur kerana masih dilindungi oleh pokok-pokok. Tidak seperti di sana, semua pokok-pokok habis ditebang didirikan banggunan dan rumah-rumah. Matanya ralit memandang suasana kampung yang penuh dengan kehijauan, sejuk mata memandang. Cuma, dia tidak gemar dengan pakaian anak-anak gadis di kampung ini, terlalu terikut dengan budaya barat, mereka tidak lagi memakai baju kurung, sebaliknya mereka memakai baju sendat, dengan seluar yang ketat. Rambut mereka juga diwarnakan, tidak memakai tudung, tidak tahukah mereka dosa dan pahala. Dia malu melihat kaum sejenisnya melakukan sedemikian.
Dia sudah diajar oleh orang tuanya agar sentiasa menurut segala perintahNya dan meninggalkan semua laranganNya jika hendak selamat didunia dah akhirat. Tetapi bila dilihat anak-anak zaman sekarang seolah-olah tidak takut lagi dengan semua itu, walaupun sudah bermacam amaran telah diberikan. Damia menggeleng apabila teringat tentang itu.
"Mana hang kutip dia tu?", abang Mat bersuara.
"Dia tu la yang Mia suka dulu tu, masa sekolah dulu, ingat tak Mia pernah cerita dekat abang Mat?", Damia membalas.
"Ha ingat, jadi jugak hampa na, pandai hang tackle dia", abang Mat menarik rambut Damia yang mengurai panjang.
"Sakitlah, mana bini dengan anak abang?", Damia bertanya kerana dia tidak melihat keluarga abang Mat.
"Balik rumah mak mentua abang, berpantang dekat sana, anak abang ada dekat rumah tok la", abang Mat tersenyum.
Terbeliak mata Damia sudah masuk tiga orang anak abang Mat, tetapi dia sedikit hampa tidak melihat bayi abang Mat yang baru. Dia amat menyanyangi anak-anak abang Mat yang sudah dia buat seperti anak angkatnya sendiri. Anak-anak abang Mat semuanya perempuan dan manja dengan ayahnya.
"Sampai hati tak bagitau, baby apa ni?"
"Perempuan lagi", abang Mat sedikit kecewa, kerana dia amat menginginkan anak lelaki.
"Ala tak apa la, boleh buat geng nanti usaha la lagi", Damia mengenyitkan mata kepada abang Mat.
"Banyak la hang punya usaha, hang ingat bini aku tu kilang beranak, dah rezeki Tuhan bagi terima saja la, zaman sekarang jantan ka betina ka sama ja, kena cara didik nya elok la budak tu, kalau salah didiknya habis la budak tu".
"Bernas sungguh penjelasan itu', jawab Damia sambil ketawa .
Kak Ija sudah pun masuk ke dalam rumah kerana anaknya menangis, kak Ija baru sahaja setahun menjadi isteri orang, itu pun setelah puas tok su memaksa, mana tak paksanya umurnya sudah meningkat 26 tahun, bukannya tidak ada orang yang suka tetapi semua ditolaknya, sebaliknya abang Mat yang berumur 23 tahun sudah mempunyai tiga orang anak.
Tanpa disedari tiba-tiba sahaja Amierul Ashraff muncul di depan matanya, sampai-sampai saja tersengih. Pantas tangan Damia mencapai tudungnya, geram rasanya,bukan nak bagi salam dulu main masuk saja rumah orang, Damia melihat Amierul Ashraff sudah pun bertukar pakaian yang lebih santai. Bau badannya pun sudah wangi tidak sepertinya masam lagi, sudah puas Datin Sofea menegur anak daranya itu yang suka ralit jika mahu melakukan sesuatu perkara.
Spontan Amierul Ashraff duduk di sebelah Damia sebaris dengan Amira dan abang Mat di sofa dalam rumah Amira. Tanpa segan silu dia meletak tangannya di belakang bahu Damia, meremang bulu roma Damia, Amira perasan akan perubahan wajah Damia, tahu sangat dengan perangai sepupunya yang tidak biasa dengan semua itu. Lelaki telefon pun disuruh Amira yang menjawabnya. Amierul Ashraff membuat muka tidak bersalah sebaliknya dia senang berborak dengan abang Mat, rancak sungguh mereka berborak.
Damia tidak mempedulikan Amierul Ashraff di sebelahnya, dia menarik tangan Amira masuk keluar pergi ke rumah tok mereka, senang sikit nak buat apa pun, dia juga mahu mandi, tidak selesa la jika ada Amierul Ashraff di rumah tok nya.
"Duk sini sampai orang panggil faham!", lurus jari telunjuk Damia bermain di depan muka Amierul Ashraff. Damia berlalu dengan Amira meninggalkan Amierul Ashraff dengan abang Mat berborak.
Elok mereka keluar, abang Wira sampai, abang Wira adalah tunang kepada Amira, tetapi jika mahu dibandingkan dengan Amierul Ashraff sudah tentu la tunang Damia jauh lebih kacak. Tetapi mereka tidak pandang sangat paras rupa yang penting hati budi elok. Amira menyuruh tunangnya menyertai Amierul Ashraff dan abang Mat di dalam rumah.
"Kesian aku tengok atuk tu, lama betul nak tunggu hang", ujar Damia sambil berjalan menuju ke rumah tok nya.
"Lantak pi la kat dia, aku ni muda lagi la, lagi pun kita dah janji nak naik pelamin sama-sama kan", macam tidak ada perasaan saja Amira bercakap.
"Muda ke kau ni?", Damia mengusik Amira.
"Mula la hang ni, aku memang muda apa, atuk kau tu yang dah tua, umur dah nak masuk 30 dah, muda lagi abang Mat dari dia, nasib baik la hensem", selamba mengutuk tunang sendiri.
"Hensem ke?, tunang aku hensem lagi", balas Damia bangga.
"Aku punya lagi hensem", balas Amira tidak mahu kalah.
"Aku", Damia membalas
Meraka berdua jika sudah berjumpa pasti berbalah, ada saja yang tidak puas hati, dua-dua tidak mahu mengalah, pasal pelakon pun mahu bergaduh, tapi mulut sajalah yang bising.
"Yela hang menang ambil la tunang hang tu, kalau hang tak mau, bagi kat aku, hang ambil la atuk tu baru kena", begitulah selalunya Amira yang mengalah kerana dia tua setahun dari Damia, jadi sebagai kakak dia mengalah la kalau tak sampai bila pun tak habis. Amira sengaja mahu mengusik Damia, dia tahu Damia tidak akan terasa hati jika dengannya.
"Atuk sayang mati kat hang, mana la dia mau dekat aku", Damia merendah diri la kononnya.
"Ceh!, sudahlah hang, macam la aku tak kenai, hang tak sanggup nak bagi dia dekat aku", Amira tersenyum melihat Damia ada sahaja yang nak dijawabnya.
Mereka sudah pun masuk ke dalam rumah tok mereka. Masuk-masuk sahaja Damia sudah nampak anak-anak abang Mat, Fanisha dan Farisha, kedua-duanya, berhuruf 'F' sempena nama abang Mat yang juga bermula dengan huruf 'F'. Fanisha dan Farisha meluru memeluk Damia setelah melihat Damia di muka pintu. Dari dulu lagi mereka amat rapat dengan mak lang mereka itu, kerana Damia rajin sangat melayan mereka, jika mereka main anak patung, Damia turut menyertai mereka.
Kadang-kadang bergaduh juga, Damia juga tidak mahu mengalah dengan anak-anak buahnya, perangai macam budak-budak, sibuk nak main sekali, pening juga abang Mat melihat perangai Damia dan anak-anaknya.
"Anak-anak mak lang ni sihat ke?", tanya Damia semasa membalas pelukan Fanisha dan Farisha.
"Sihat", jawab mereka serentak.
"Mak lang pi mana lama tak jenguk kami", comel suara Fanisha bertanya.
"Mak lang sibuk la sayang, tu yang tak dan nak balik sini", lembut suara Damia sambil mengusap kepala anak buahnya itu.
Fanisha dan Farisha adalah kembar tetapi tidak seiras, Farisha mengikut wajah abang Mat, Fanisha pula mengikut wajah isteri abang Mat. Mereka baru berumur dua tahun tetapi sudah petah berkata-kata, kadang-kadang itu ada juga yang mereka tidak faham, tetapi dilayan saja, jika tidak dilayan nanti mulalah nak menarik muka sama sahaja dengan perangai Damia yang kuat merajuk. Teruk juga kalau tidak kena dengan pujuknya, muncung je la satu hari tu.
"Nisha dengan Risya main dengan mak ngah dulu tau, mak lang nak mandi kejap tau"
"Nak mandi sekali dengan mak lang, dah lama kami tak mandi dengan mak lang", pinta Farisha.
"Kamu berdua kan dah mandi", serkap Damia. Sengaja mahu mengusik mereka.
Fanisha dan Farisha menggeleng.
"Jom la, cepat, siapa sampai bilik mandi dia menang okey mak lang kira sampai tiga kita lari tau satu, dua.." belum sampai tiga lagi Damia sudah pun memecut meninggalkan Fanisha dan Farisah teruk betul perangai.
"Mak lang tipu!!" laung Farisha dan Fanisha sambil berlari.
Riuh suara Damia dan anak-anak abang Mat di dalam bilik air, Amira pulang ke rumahnya dahulu sementara menunggu Damia mandi. Kalau dah mandi tu bukan reti sekejap nak lagi kalau budak berdua tu ada sekali berejam la kena tunggu.
"Mana Mia?", tanya Amierul Ashraff sebaik sahaja melihat gerangan Amira.
"Mandi", jawab Amira sepatah. Amira mengambil tempat di sebelah tunangnya abang Wira. Nama mereka pun nak sama sorang Wira sorang Mira memang sepadan benar.
"Nisha dengan Risya mana?",abang Mat pula bertanya tentang anak-anaknya yang tidak kelihatan dari tadi.
"Biasalah bang, kalau Mia dah balik macam-macam la budak berdua tu, dalam bilik air tu riuh dengar suara depa, tu yang yong mai sini pening dengan depa tu", balas Amira sambil ketawa, geli hatinya bila melihat gelagat Damia yang tak ubah seperti keanak-anakkan.
Berkerut-kerut dahi Amierul Ashraff mendengar Amira bercakap, dia musykil satu perkara. Mia mandi sekali dengan anak-anak abang Mat, fikirnya. Yang dia tahu Damia memang menyukai anak-anak kecil, dia tidak kekok untuk melayan kerenah budak-budak kecil. Mereka juga mudah rapat dengan Damia yang mudah mesra dengan kanak-kanak tidak mustahil juga Farisha dan Fanisha mudah rapat dengannya. Tidak sampai satu hari Amierul Ashraff sudah mula mesra dengan keluarga Damia, ternyata keluarga Damia menerimanya dengan baik sekali.
Damia mencari-cari Amira dia ruang tamu setelah selesai mandi. Pasti dia bosan tunggu aku mandi, fikirnya. Damia menguruskan Farisha dan Fanisha memakai pakaian mereka, bedak, minyak rambut semua dia letak, lepas itu, dia mengikat pula rambut mereka berdua, macam pokok kelapa saja, tocangnya kerana rambut mereka tidak lebat seperti rambutnya, nipiskan la banyak mana pun tak nipis jugak. Rambut Farisha dan Fanisha beralun seperti rambutnya. Setelah selesai semuanya, Damia membawa anak-anak abang Mat ke rumah Amira, kerana ayah mereka berada di sana.
Damia juga memakai tudung kerana Amierul Ashraff dan abang Wira ada di sana. Damia memimpin tangan kedua-duanya. Manja sungguh perlakuan Farisha dan Fanisha dengan Damia, macam-macam soalan yang keluar daripada mulut mereka, macam wartawan melodi dah lagaknya, agaknya masa mengandungkan mereka, isteri abang Mat suka tengok cerita melodi kut. Semua soalan yang ditujukan kepadanya semua dia tidak jawab, dibiarkan saja anak kecil itu tertanya-tanya.
"Mak lang jawab la", Fanisha mengoyang-goyangkan tangan Damia yang dipegangnya.
"Nanti la Nisha tanya balik, mak lang tak ada jawapan la untuk soalan tu", sengaja Damia mencari alasan.
Fanisha diam setelah mendengar jawapan daripada Damia yang dianggap munasabah itu. Sampai saja di rumah Amira meluru Farisha dan Fanish mendapatkan abang Mat. Macam-macam mereka cerita kepada abang Mat termasuklah yang mereka mandi bersama Damia, sudahlah di hadapan Amirul Ashraff pula, merona merah muka Damia menahan malu. Sudah tentu Amirul Ashraff menganggapnya seperti apa. Geram pula dia dengan Farisha dan Fanisha yang tak reti nak menyimpan rahsia tetapi bila difikir balik apa yang mereka tahu, mereka baru berumur dua tahun.
"Ni siapa ayah, hensemnya, ada orang nak meminang Nisha ye ayah?", tanya Fanisha, apa la budak itu tahu tentang pinang-meminang ni.
Mata Fanisha tidak lepas dari memandang Amierul Ashraff, bersinar matanya, ikut sangat la perangai Damia tu. Amierul Ashraff pula malu-malu, dia tidak menyangka yang budak kecil ini sudah pandai berkata-kata walaupun dia tidak mengerti apa yang dicakapkannya.
"Mulut tu, mak lang kamu tak cakap apa-apa ke?", abang Mat bertanya kembali anaknya.
Fanisha cuma menggeleng, Farisha pula sudah tertidur di ribaan Damia, letih sangat barangkali. Damia mengusap-usap kepala Farisha yang nyenyak sekali tidurnya. Damia memandang abang Mat dengan pandangan yang kosong, seperti tidak bersalah saja lagaknya.
"Kamu tanya la mak lang kamu, ayah malas nak cakap", sambung abang Mat lagi.
Cepat sahaja Fanisha duduk di sebelah Damia, seperti yang disuruh oleh ayahnya. Dia memandang Amira menyuruh Amira menjawab bagi pihaknya. Tetapi Amira buat-buat tidak faham dengan pandangan Damia sebaliknya dia bersembang dengan abang Wira. Terpaksalah Damia menjawabnya sendiri takkan mahu menyuruh Amierul Ashraff pula.
"Apa yang Nisha nak tau", tanya Damia bosan.
"Siapa abang ni?", Fanisha bertanya.
"La tu kan pak ngah Wira, takkan Nisha tak kenal kut, apalah Nisha ni", jawab Damia sambil ketawa.
"Mak lang ni kan, bukan pak ngah Wira la, pak ngah Wira dah tua abang ni muda lagi hensem pulak, Nisha suka la", jawab Fanisha teruja.
"Pergi la tanya pak cik tu, tanya mak lang buat apa"
"Abang ni siapa?", tanya Fanisha.
"Abang ni bakal pak lang Nisha", jawab Amierul Ashraff sambil mencubit pipi montel Fanisha.
"Mak lang ni kenapa nak ambil boyfriend Nisha.", marah Fanisha.
"Nisha nak ke ambil la mak lang tak heran pun, tapi kan Nisha, kalau Nisha nak abang tua tu, Nisha kena belanja mak lang makan aiskrim dulu baru boleh", balas Damia.
"Okey, nanti Nisha minta duit dekat ayah kita pergi kedai cik Shima" laju saja dia menjawab. Damia mencebikkan bibirnya, sampai macam tu sekali Fanisha menyukai Amierul Ashraff, Amierul Ashraff tersenyum melihat Damia dengan Fanisha.
"Apa pakai duit ayah pulak, pakai la duit Nisha sendiri", abang Mat menyampuk.
"Ala ayah ni, kalau Nisha tak belanja mak lang makan aiskrim nanti mak lang nak ambil boyfriend Nisha". Mereka semua ketawa mendengar Fanisha bercakap.
"Ayah bolehlah", Fanisha merengek-rengek .
"Nah, ambil duit ni, cepat sikit kita couple tau", Amierul Ashraff mengeluarkan not satu ringgit. Fanisha menggaru-garu kepalanya memikirkan maksud 'couple' yang dikatakan oleh Amierul Ashraff, tetapi dia tidak peduli yang dia peduli sekarang adalah untuk belanja aiskrim.

2 comments:

  1. dah ok dah cuma kau careless beberapa perkataan ja.. mcm heran(gunakan hairan)

    ReplyDelete