Sunday 27 November 2011

bab 7

 Damia menyampah melihat Amierul Ashraff tersenyum-senyum. Fanisha menarik tangan Damia untuk pergi ke kedai. Damia sudah mencebikkan bibirnya ,tiba-tiba Damia mempunyai idea untuk mengusik Amierul Ashraff.
"Jom, Mira kita pergi sekali, sambil-sambil tu boleh lah aku nak tengok buah hati aku dekat sini, rindu pulak aku dekat dia", sengaja Damia menekankan perkataan buah hati itu.
Muka Amierul Ashraff sudah berubah. Amira yang perasan akan perubahan itu, menepuk bahu Damia yang dirasakan agak keterlaluan mengusik tunangnya. Tetapi seperti biasa Damia membuat muka seperti tiada apa yang berlaku. Amira meminta izin daripada abang Wira untuk menemani Damia dan Fanisha membeli aiskrim.
"Nisha, abang ikut sekali boleh?", Amierul Ashraff bersuara, dia mahu memastikan Damia sengaja mahu mengusiknya atau memang benar Damia mempunyai buah hati di sini.
"Jom, Nisha nak dukung?", Fanisha mendepangkan tangannya menyuruh Amierul Ashraff mendukungnya.
Terbit juga rasa cemburu di hati Damia, dia menganggap Fanisha mengada-ngada sengaja mahu mengambil perhatian daripada Amierul Ashraff. Tunangnya pun layan saja kerenah Fanisha, geram pula dia melihat 'pasangan' itu. Sepanjang perjalanan Amierul Ashraff mendukung Fanisha dan sepanjang perjalanan itu juga, Damia membuat muka bosan. Amira melihat muka Damia yang macam cuka itu, faham la dia yang Damia cemburu melihat Amierul Ashraff melayan Fanisha lebih daripada melayannya.
Damia sudah nekad dia mahu melancarkan mogok selagi Amierul Ashraff tidak memujuknya. Sampai saja di kedai, Damia terus mengambil aiskrim nya dan dia mengatakan kepada jurujual itu yang Amierul Ashraff akan membayarnya, dia menyuruh Amira cepat dan mereka meninggalkan Amierul Ashraff di situ. Damia menikmati aiskrim lemon yang masih sejuk itu. Tetapi aiskrim itu tidak dapat menyejukkan hatinya yang sedang panas membakar.
"Mana yang lain?", tanya abang Mat setelah mereka sampai di rumah.
Damia senyap tidak menjawab pertanyaan abang Mat. Abang Mat memandang Amira, Amira mengangkat bahunya tanda tidak tahu.
"Nah ni ayah punya ni pak ngah punya", Fanisha menghulurkan aiskrim yang dibelinya tadi.
Amierul Ashraff duduk di sebelah Damia. Pantas Damia bangun dan duduk di buaian di luar rumah. Amierul Ashraff hairan kenapa Damia berperangai seperti itu, setahunya dia tidak membuat salah apa-apa pun sampai Damia merajuk macam tu. Amierul Ashraff turut mengikut Damia ke luar, dia duduk di sebelah Damia, baru sahaja Damia mahu bangun tangan Amierul Ashraff lagi pantas memegang lengan Damia, dan menyuruhnya duduk kembali.
"Sayang kenapa ni, abang ada buat salah apa?", lurus soalannya.
Damia dia tidak menjawab, sebaliknya dia menghisap aiskrim nya seolah-olah Amierul Ashraff tidak wujud disitu.
"Pandang abang sayang", Amierul Ashraff memegang dagu Damia. Dia menarik muka Damia supaya memandangnya.
"Kenapa ni?", Amierul Ashraff cuba memujuk. Damia sudah membuat muncung bibirnya.
"Kenapa honey layan sangat Nisha tu?".
"Oh!, cemburu la ni?", Amierul Ashraff mencuit hidung Damia sambil tersenyum.
"Dia kan bakal anak buah abang jugak, biarlah abang layan dia lebih sikit bagi dia biasa dengan abang, sayang jangan macam ni, abang susah hati la kalau tengok dia muncung macam ni, dah la okey abang janji abang tak layan Nisah lebih-lebih okey", sambung Amierul Ashraff.
"Janji, kalau honey tipu Mia mogok tak nak layan abang dah", Damia memberi ugutan.
"Ye jangan risau, dah makan aiskrim tu dah cair dah", Amierul Ashraff menyuap aiskrim kepada Damia.
Dengan senang hatinya Damia membuka mulutnya memakan aiskrim yang disuap oleh Amirul Ashraff. Danish juga menyertai mereka setelah selesai kerjanya menolong Datuk Saiful membuat reban ayam.
"Pak long!!", jerit Fanisha dan Farisha.
Danish memeluk kedua-dua anak buahnya itu. Lama dia tidak berjumpa dengan anak buahnya, tetapi yang dia tidak suka mereka suka meminta Danish membelanja mereka beli makanan ringan, jenuh dia mahu melayan kerenah kembar itu.
"Mak lang mana?", tanya Danish.
Farisha muncungkan bibirnya ke arah Damia yang sedang duduk di luar bersama dengan Amierul Ashraff. Segera Danish berjumpa dengan Damia, dia mahu cakap sesuatu dengan adiknya.
"Dik, malam ni ikut abang nak?"
"Pergi mana?", tanya Damia kehairanan.
"Pergi KFC, kita beli bawa balik sini lepas tu panggil la semua makan, kiranya kita belanja la", Danish menyatakan hasratnya.
"Bukan'kita' abang yang belanja Mia mana ada duit, tu la Mia pun terfikir macam tu tapi Mia nak suruh Acap je yang belanja okey tak?", Damia memberikan rancangan kepada Danish.
"Okey jugak jimat sikit duit aku, boleh tak Acap?", Danish memandang Amierul Ashraff.
Amierul Ashraff mengangguk, tidak ada salahnya sekali-sekala mengeluarkan duit bukan untuk siapa untuk keluarga bakal isterinya juga. Selepas maghrib mereka akan pergi ke KFC. Amierul Ashraff mengajak Damia pulang ke rumah tok nya, dia sebenarnya masih segan bila berseorangan di rumah tok Damia.  Amierul Ashraff mengajak Damia solat maghrib bersama-sama, tetapi Damia terpaksa memberitahu Amierul Ashraff yang dia sedang bercuti.
"Jangan masa malam pertama cuti sudah la merana abang nanti", usik Amierul Ashraff sambil tersengih menggoda.
Merah muka Damia mendengar usikan Amierul Ashraff. Selepas Amierul Ashraff melakukan solat mereka terus keluar pergi ke KFC. Damia bersiap ala kadar saja, dia mengenakan t-shirt lengan panjang dan track suit berwarna hitam belang merah dan tudung berwarna putih dan mengoles sedikit pelembab bibir. Tetapi Amierul Ashraff pula yang merajuk katanya Damia mahu mengurat lelaki lain. Damia sendiri tidak faham, dia bukan pakai cantik-cantik pun biasa-biasa saja. Terpaksalah Damia memujuk Amierul Ashraff.
"Honey, dah la orang bukannya pakai cantik pun, kenapa nak cemburu pulak ni", lembut Damia memujuk.
"Sayang la pakai gincu segala", Amierul Ashraff masih dengan rajuknya.
"Ni bukan gincu la pelembab bibir je tak nak bagi bibir kering, dah la, honey tak percaya orang ke, tak pe la kalau honey tak percaya,"Damia pula yang merajuk.
"Ala sayang jangan merajuk, abang percaya la", kalah juga Amierul Ashraff dengan rajuk Damia.
"Habis tu bila orang pakai lebih sikit cemburu tak habis".
"Okey abang dah tak cemburu, give me a smile please?", Amierul Ashraff merenung Damia di hadapannya.
Damia memberikan senyuman yang hambar kepada Amierul Ashraff, hilang semua mood nya. Damia turut mengajak Amira pergi sekali, mereka pergi menaiki kereta Datuk Saiful besar sikit. Amierul Ashraff cuba untuk mengembalikan mood Damia yang hilang gara-gara dia yang cemburu tidak bertempat. Amira yang duduk di belakang diam saja, malas dia nak campur masalah sepupunya yang sorang tu manja sangat, salah aje mulalah nak merajuk penat orang nak pujuknya, kalau di sini, abang Mat la yang jadi mangsa kena pujuk Damia tu.
Dia sendiri sudah faham dengan perangai Damia, tetapi kalau dengannya Damia tidak pernah terasa hati, bak kata orang cubit paha kanan, peha kiri terasa. Mereka memang rapat kalau Damia menangis, Amira turut merasai sedihnya, mereka saling melengkapi antara satu sama lain. Mereka punya cita rasa juga tidak kira la dari segi apa pun, minat mereka melihat cerita Barbie pun sama, cuma Damia siap beli patungnya lagi, Amira tidaklah sampai macam tu sekali.
Cita rasa mereka terhadap lelaki juga sama, bila Amira cakap lelaki itu kacak, Damia juga mengatakan yang sama juga. Damia juga pernah menyimpan rasa kepada abang Wira tapi suka-suka macam tu aja lah tak ada la sampai nak buat jadi suami, lagipun abang Wira sudah tua, tetapi bila tengok orangnya nampak muda lagi. Damia masih tidak bersuara, hanya Amierul Ashraff yang bercakap, tetapi tiada tindak balas daripada Damia. Akhirnya Amierul Ashraff juga diam, kedengaran celoteh DJ daripada radio saja. Amierul Ashraff memandang Damia disebelah, tidur rupanya.
Terpaksalah Amierul Ashraff mengejutkan Damia, takkan dia mahu pergi dengan Amira berdua saja, tiba-tiba abang Wira nampak pulak naya kena belasah. Perlahan Amierul Ashraff menggoyangkan bahu Damia, lena benar tidurnya.
"Lembut sangat hang gerak, mai sini aku gerak", Amira pula mengejutkan Damia, Amierul Ashraff terlampau lembut mana la si Damia ni bangun.
"Mia tengok ada minah ni nak mengurat tunang hang bangun lekas!", Amira sedikit menjerit.
"Mana-mana", kelam-kabut Damia bangun, dengan tudungnya yang sudah senget-benget. Serabut habis, Amierul Ashraff yang melihatnya menahan gelak, gelabah sampai macam tu sekali. Amira pula sudah lepas gelaknya, lama Amira tidak melihat Damia serabut macam tu.
Damia menampar bahu Amira yang sengaja mahu mengusiknya, merah pula mukanya kerana terpaksa menunjukkan perangai yang agak 'sopan' kepada Amierul Ashraff. Pantas tangan Damia membetulkan tudungnya, dan menggosok-gosok matanya. Dia mencari-cari botol minuman di dalam kereta kalau-kalau ada bolehlah dia membasuh mukanya sedikit. Selepas itu barulah Damia keluar dari kereta.
Damia berjalan berdua dengan Amierul Ashraff, Amira ditinggalkan di belakang. Mereka memesan ayam dan beberapa makanan lain, Amierul Ashraff bertanya kepada Damia mahu makan apa, tetapi Damia menolaknya, makanan yang ada pun sudah banyak takut tidak terabis pula dah membazir saja. Damia dan Amira menjijit barang, sementara menunggu Amierul Ashraff membayar bil. Kemudia Amierul Ashraff menghulurkan tangannya supaya mereka memberikan kepadanya, kesian dia tengok sakit tangan mereka bawa berat-berat.
Mereka terus pulang ke rumah. Aroma ayam KFC menusuk hidung mereka tidak sabar rasanya nak makan. Amierul Ashraff memakai kaca mata kerana dia tidak nampak jika memandu waktu malam, kabur saja. Damia yang perasan tentang itu meminta supaya Amierul Ashraff memberinya membawa kereta.
"Bolehlah..", Damia merengek manja. Amira yang duduk di belakang mencebik panjang menyampah dia melihat perlakuan Damia.
Amierul Ashraff akur, dia memberi keizinan, tetapi kali ini sahaja, entah kenapa dia memang tidak yakin jika Damia yang membawa kereta. Damia tersenyum puas dapat juga dia memujuk Amierul Ashraff, dengan lafaz bismillah Damia memulakan perjalanan. Boleh tahan jugak Damia membawa kereta, laju juga, Amira yang duduk di belakang mengucap panjang. Damia pernah cerita kepadanya, yang dia mahu menjadi drifter yang profesional, dekat rumahnya dulu punya la banyak game kereta, bila dah main tu kerja lain pun tak jalan dah.
Sampai saja di rumah, terhoyong-hayang Amira berjalan, pening kepalanya, Amierul Ashraff pula memuji Damia membawa kereta, sebaliknya dia pula yang menyuruh Damia mengajarnya membawa kereta seperti Damia. Mereka memberi salam terlebih dahulu sebelum masuk, Amira dan Damia pergi memanggil tok su, abang Mat, kak Ija, pak ngah dan keluarganya pergi ke rumah tok. Kenyang Damia melihat keluarganya makan berselera sekali. Bahagia dia melihat keluarganya hidup dalam keadaan yang harmoni dan aman, dia tidak pernah sekali pun terasa hati dengan teguran dan nasihat mereka. Berbeza sekali jika di sebelah papanya, teguran dan nasihat mereka sungguh kasar. Kerana itu jika papanya mengajak mereka pulang ke kampung sebelah papanya dia akan mogok habis-habisan.
Selesai makan, Amierul Ashraff membantu Damia dan Amira mengemas sisa-sisa makanan kerana dia segan mahu menyertai keluarga Damia di ruang tamu. Tetapi, Datuk Saiful terlebih dahulu mengajaknya bersama-sama berborak, sambil-sambil itu bolehlah dia menceritakan tentang dirinya. Damia menganggkat ibu jarinya kepada Amierul Ashraff. Sebelum Amierul Ashraff mengekori Datuk Saiful ke ruang tamu, dia menarik tudung Damia ke belakang, tidak sempat Damia membalas perlakuan Amierul Ashraff dia sudahpun lari ke mengikut Datuk Saiful, sempat lagi Amierul Ashraff menoleh ke belakang dan membuat flying kiss kepada Damia.
Amira menggeleng-geleng melihat Damia dan Amierul Ashraff ada sahaja gelagat mereka, dua-dua kelihatan masih anak-anak lagi terutama Damia, tidak nampak langsung kematangannya, cuma sikap keibuannya terserlah jika dia melayan kerenah budak-budak. Tetapi sekejap sahaja, selepas itu, dia main sekali dengan budak-budak itu.
Amierul Ashraff berasa gugup ketika berjumpa dengan semua ahli keluarga Damia. Berbagai-bagai soalan yang ditanya kepada Amierul Ashraff. Tetapi kesemua ahli keluarga Damia merestui hubungannya bersama Damia. Senang hati Damia melihat Amierul Ashraff diterima oleh keluarganya. Malah, Amierul Ashraff juga pandai mengambil hati tok nya, dan sekaligus dia menjadi cucu kesayangan tok nya, bila tidak nampak saja kelibat Amierul Ashraff mulalah nak risau, cucu sendiri tidak pula begitu.
Malam ini, Damia tidur di rumah Amira, Amierul Ashraff pula tidur di rumah tok  bersama dengan Danish. Tidak manis pula bila Damia dan Amierul Ashraff tidur sebumbung apatah lagi mereka masih tidak mempunyai ikatan yang sah. Walaupun duduk berdekatan, Amierul Ashraff tetap menelefon Damia, tidak boleh berpisah langsung. Damia pula malu-malu mahu menjawab panggilan daripada tunangnya itu dihadapan abang Wira dan Amira. Tetapi kalau tidak dijawab panggilan itu, mulalah nak merajuk, Damia juga yang jenuh nak memujuknya.
"Sayang abang buat apa, tak rindu dekat abang la tu", mulalah tu nak merajuk.
"Nak rindu buat apa, esok boleh jumpa lagi, ala lagipun rumah tok tu bukannya jauh sebatu, dekat sangat bak kata orang kentut pun berbau"
"Mana Mia tau abang baru lepas kentut",kedengaran ketawa Amierul Ashraff ditalian.
"Merepek la malam-malam buta ni", Damia tidak faham apa la yang mencuit hati Amierul Ashraff.
"Mia yang merepek dulu ada pula rumah dekat dikaitkan dengan kentut tak munasabah langsung tau", balas Amierul Ashraff dengan ketawanya yang masih bersisa.
"Ye lah honey menang", balas Damia sambil ketawa kecil.
"Yess!!, abang menang", berdengung suara garau Amierul Ashraff. Sakit pula telinga Damia mendengarnya. Macam dapat anugerah saja, orang yang dapat anugerah pun tidak macam tu. Tetapi dia senang melihat Amierul Ashraff bahagia seperti itu, dia juga turut sama merasai bahagianya.  Dia berharap sangat yang hubungan mereka mendapat rahmat daripadaNya dan berkekalan.
"So apa habuannya, abang dah menang ni, Mia tak nak bagi apa-apa ke?", tanya Amierul Ashraff dengan suaranya yang menggoda.Seksi!.
"Buat apa, bukannya menang anugerah pun nak bagi hadiah menang tak bertanding pun kecoh je, Mia kan dah bagi hati Mia dekat honey, cukup la, Mia tarik balik nanti nak?", Damia cuba menguji tunangnya.
"Ala nak uji pun, tengok diri dulu, cuba sayang fikir kan, apa jadi kalau abang yang tarik hati yang abang bagi dekat Mia, tak meroyan jugak ke sayang abang ni", Amierul Ashraff ketawa kecil. Dia yang mahu menguji tunangnya alih-alih dia juga yang terkena. Memang betullah apa yang dicakapkan oleh Amierul Ashraff itu, tidak sanggup rasanya nak kehilangan Amierul Ashraff.
"Jangan la cakap macam tu", takut suaranya. Amierul Ashraff ketawa kecil di talian, masakan betul dia mahu meninggalkan Damia, dia amat menyanyangi gadis itu.
"Tau pun so jangan uji cinta abang pada Mia, percayalah yang abang ikhlas dan amat sayang dekat Mia, kalau Mia suruh buat perkara untuk membuktikan cinta abang pada Mia dah tentu abang akan lakukannya", balas Amierul Ashraff dengan penuh yakin.
Senang sungguh dia mendengarnya, dia amat mempercayai Amierul Ashraff dengan sepenuh hatinya. Matanya sudah layu, menahan kantuk, banyak pula kredit Amierul Ashraff menelefonnya, memang selalu pun Amierul Ashraff yang memulakannya dahulu, bagi Damia tidak perlu selalu sangat nanti cepat jemu, kalau dibiarkan lama sedikit barulah rasa kerinduan akan bertandang di hati. Damia tidak membalas kata-kata Amierul Ashraff, kerana tidak tahu apa yang hendak dibalasnya, kata-kata Amierul Ashraff membuatnya terkedu.
"Ni mesti dah mengantuk ni kan?", tanya Amierul Ashraff setelah dia merasakan yang di bercakap seorang tiada tindak balas. Ada satu hari itu, dia saja yang bercakap di talian, rupanya Damai sudah pun dibuai mimpi. Yang dia tahu tentang perangai Damia adalah gadis itu cepat sangat tidur, bukan cepat malah pantang ada masa lapang saja dia mesti luangkannya dengan tidur. Amierul Ashraff sendiri sudah masak dengan perangai Damia. Cuma ada satu saja yang dia tidak gemar pasal Damia, gadis itu terlalu perahsia orangnya, sehinggakan dia sakit pun tidak diberitahu kepadanya. Bukan dengannya sahaja malah dengan orang tua dan abangnya sendiri juga dirahsiakannya.
"Mana tak mengantuk, dengar honey membebel, honey orang nak tidur boleh mengantuk sangat ni, tak boleh nak buka mata dah ni", manja suaranya, tetapi tetap dikawalnya kerana suara itu juga aurat seorang wanita.
"Tak boleh!", balas Amierul Ashraff.
"Ala, orang dah mengantuk sangat ni". Amira telah pun tidur di sebelahnya, setelah abang Wira pulang ke rumahnya, dia terus tidur, cuma Damia saja yang masih melayan tunangnya.
"Okey tapi sayang kena janji esok kena keluar dengan abang boleh?", Amierul Ashraff telah merancang sesuatu bersama Danish untuk Damia.
"Okey, orang dah boleh tidur dah sekarang kan?", Damia bertanya.
"Tidurlah, sweet dream, jangan lupa mimpi abang, abang sayang Mia sangat-sangat, muahhh!!", romantik sungguh suara Amierul Ashraff di pendengarannya. Sudah pasti tidurnya lena malam ini, dibawa telefonnya ke dalam dakapan, seolah-olah Amierul Ashraff yang didakapnya saat itu.
Amierul Ashraff pula tidak boleh melelapkan matanya, entah kenapa, berdebar sahaja hatinya di saat ini, selalunya dia dan Damia akan berjumpa dahulu, jika tidak berjumpa pun mereka akan saling berbalas mesej, malam ini, Damia seperti tidak melayannya seperti selalu, mungkinkah gadis itu mempunyai masalah, ataupun memang perubahan hormonnya. Malas pula dia mahu memikirkannya, mungkin esok perangainya pulih. Amierul Ashraff melihat Danish yang tidur di sebelahnya, buas juga Danish tidur, kakinya berada di atas kaki Amierul Ashraff, bila diubah dia letak lagi, akhirnya Amierul Ashraff membiarkannya saja.




AMIRA melihat Damia sedang tidur lena. Pasti dia senang hati kerana itu boleh tidur lena, jika tidak jangan harap dia boleh tidur nyenyak begitu. Tidak sampai hati pula Amira mahu mengejutkan Damia. Damia memeluk patungnya yang dibawa bersama, comel saja lagaknya. Dalam tidur pun dia boleh tersenyum pasti dia sedang bermimpi indah ketika itu. Amira terus ke bilik air untuk membersihkan diri, selepas itu baru dia akan mengejutkan Damia. Damia terdengar bunyi pintu ditutup, terus dia terjaga. Amira kalau tutup pintu bukannya boleh perlahan-lahan, macam nak tercabut pintu itu dibuatnya.
Terpisat-pisat Damia bangun dari tidurnya, dia menggosok-gosok matanya membuang tahi mata yang ada. Damia melihat jam baru menunjukkan pukul 10:30, lambat dia bangun hari ini. Selalunya dialah yang paling awal kerana mahu menyiapkan sarapan. Di kampung, ramai orang boleh melakukan semua itu, lagipun dia sedang 'bercuti', kesempatan itu dia ambil, dia mahu tidur sepuas-puasnya, bukannya selalu. Jika Amierul Ashraff tahu yang dia bangun lewat, habislah kena bebel, Amierul Ashraff cukup pantang jika orang bangun lewat rezeki tidak masuk katanya. Damia memandang ke arah pintu bilik yang terkuak terjegul wajah Amira yang baru selesai mandi, masih basah rambutnya.
"Dah bangun pun hang, baru aku nak kejutkan", ujar Amira.
Damia cuma tersenyum, dia mengajak Amira menemaninya pergi ke rumah tok untuk mengambil bajunya, semalam dia terlupa mahu mengambilnya. Damia yang masih mamai itu keluar tanpa mamakai sabarang penutup kepala. Amira pula tidak perasan yang Damia tidak bertudung. Selamba saja Damia masuk ke dalam rumah, dia tidak perasan yang Amirul Ashraff sudah pun bangun dari tidur.  Amierul Ashraff memandang Damia yang sibuk memasukkan pakaiannya ke dalam beg. Damia pula tidak perasan langsung yang Amierul Ashraff sedang leka memandangnya.
Amira heran memandang Amierul Ashraff yang leka sangat melihat Damia, Amira turut memandang Damia, atas bawah dia pandang Damia. Dia memandang kepala Damia yang tidak bertutup itu, taulah dia yang Amierul Ashraff terpaku melihat Damia yang tidak bertudung. Pantas tangan Amira mencapai kain tuala Damia dan menutup kepala Damia. Damia mendongakkan kepalanya memandang Amira. Amira memberitahu Damia yang Amierul Ashraff telah melihat rambutnya. Damia menyalahkan dirinya yang terlupa bahawa Amierul Ashraff masih berada di rumah itu.
Damia malu sendiri tidak tahu mahu letak mukanya di mana. Amierul Ashraff telah melihat rambutnya sebelum waktunya. Setelah selesai mengemas dia keluar meninggalkan Amierul Ashraff yang sedang merenungnya saat ini. Damia tidak memandang langsung muka Amierul Ashraff sebaliknya dia terus menarik tangan Amira supaya cepat mereka keluar dari situ, tidak sanggup dia mahu berlama-lama di situ. Berkali-kali Damia menepuk dahinya, sesekali kedengaran juga keluhan dari mulutnya. Amira menepuk perlahan belakang Damia, bukannya dia sengaja, dia masih mamai waktu itu maklumlah baru bangun tidur.
Sampai saja di rumah Amira terus Damia melangkah masuk ke dalam bilik. Dia menekup mukanya di bantal. Damia menghamburkan tangisannya di bantal itu, habis basah, teresak-esak pula tu dia menangis. Dia berasa berdosa yang teramat sangat kepadaNya. Tidak pernah-pernah dia menunjukkan auratnya kepada lelaki bukan muhrimnya, inilah kali pertama. Amira memujuk Damia yang sedang menangis itu seakan tidak mahu berhenti. Amira tidak tahu mahu memujuk bagaimana lagi, dia menelefon Danish supaya datang ke rumahnya untuk memujuk Damia, adik kesayangannya itu.
Tergesa-gesa Danish ke rumah Amira setelah sepupunya itu memberitahu yang adiknya sedang menangis, apa pula la masalahnya kali ini. Danish masuk ke dalam bilik Amira, dia melihat Damia menekup mukanya dengan bantal, Amira pula cuba memujuk. Danish menggeleng-gelengkan kepalanya melihat Damia menangis. Danish mendekatkan dirinya kepada Damia, dia mengangkat muka adiknya, takut lemas pula. Merah mata dan hidung Damia, menangis betul, mengalir laju air matanya. Danish merapatkan kepala Damia ke dadanya. Damia menurut, dia menangis sepuas-puasnya di dada abangnya.
Danish membiarkan Damia menangis dulu, barulah dia akan bertanya apa sebab adiknya menangis. Amira juga tidak menyangka perkara yang sekecil itu Damia boleh sedih sangat. Damia berasa lega sedikit, dia mengesat sisa air matanya. Danish tersenyum melihat Damia yang persis seperti bayi yang merengek meminta susu. Danish mencubit pipi Damia geram, dia melihat pipi Damia yang merah itu.
"Adik abang ni kenapa sampai menangis-nangis ni?", tanya Danish lembut. Dia menggosok-gosok kepala Damia. Damia bersandar di bahu abangnya.
"Mia malu bang, malu sangat-sangat", jawab Damia perlahan. Terasa mahu menangis balik rasanya, apabila teringat tentang kejadian tadi.
"Cuba cerita dekat abang".
Damia menceritakan dari mula sampai akhir kejadian yang terjadi. Danish rasa mahu ketawa saja, kerana hal yang kecil itu, Damia boleh menangis sampai begitu sekali. Tetapi,
demi menjaga perasaan adiknya ditahan saja. Danish menasihati Damia supaya melupakan saja kejadian tadi. Dia faham perasaan adiknya, memang sebelum ini Damia amat menjaga auratnya dari dilihat oleh sesiapa yang bukan muhrimnya. Dia menyuruh Damia mandi, kemudian pergi ke rumah tuk untuk bersarapan. Sementara menunggu Damia selesai mandi, Amira mengemas pakaian Damia ke dalam almari.
Damia mengenakan blouse labuh berwarna putih bercorak bunga ros kecil berwarna merah ayu sekali. Damia menyanggul rambutnya yang mengurai panjang, kemudian dia menyarung tudung. Dia menyembur sedikit pewangi. Amira pelik melihat Damia yang memakai cantik hari itu. Damia faham apa yang berada di fikiran Amira, pasti dia heran kenapa Damia memakai cantik-cantik.
"Jangan buat muka blur boleh tak, sat lagi aku nak keluar dengan abang Ash dan Acap, tak taulah depa nak bawak aku pi mana", ujar Damia dalam loghat perak utaranya.
"Jom lah sekali teman aku, aku sorang saja perempuan segan la aku", sambung Damia lagi.
Amira tersengih mendengar pelawaan Damia, dia juga bersiap-siap. Setelah itu, mereka berdua pergi ke rumah tuk untuk bersarapan. Dia melupakan kejadian antara dia dan Amierul Ashraff pagi tadi. Sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam rumah, orang pertama sekali yang dia lihat adalah Amierul Ashraff yang sedang duduk di sofa mungkin sedang menunggunya. Amira menyuruh Damia mempelawa Amierul Ashraff agar bersarapan sekali bersama mereka. Damia berasa bersalah pula jika tidak di pelawa sekali. Damia akhirnya mengalah juga dengan cadangan Amira.
"Honey jom kita sarapan sekali", lembut pula suara Damia mempelawa Amierul Ashraff.
Amierul Ashraff memberikan senyuman kepada Damia yang menampakkan lesung pipitnya, tampan sungguh. Amierul Ashraff terpegun melihat Damia, manis sekali wajahnya,berseri saja. Mahu saja Amierul Ashraff mencubit pipi montel Damia itu, geram benar dia dengan pipi Damia. Dia ni senyum macam tu pulak, cair la aku macam ni, nak merajuk lama-lama pun tak boleh kalau hari-hari tengok dia senyum macam ni.
"Sayang pakai cantik-cantik ni nak pergi mana?", tanya Amierul Ashraff dengan nada sedikit cemburu. Itulah perangai Amierul Ashraff yang paling dia menyampah tahap dewa dah, cemburu tak kena tempat. Kang aku cari lelaki lain betul-betul baru padan muka dia, tapi padan muka aku jugak, dia dah la hensem tak pasal-pasal aku pulak yang jadi Kassim Selamat buta free je. Damia tersenyum sendirian.
"Nak pergi date la, pergi mana lagi", usik Damia. Amierul Ashraff terus berlalu ke dapur tanpa mempedulikan Damia yang terpinga-pinga. Damia mengangkat-angkat keningnya kepada Amira. Teringin nak jadi Ziana Zain macam tu lah jadinya asyik angkat kening aje. Amira mengangkat bahunya tanda tidak tahu. Pelik pula, selalunya bila Damia mengusik seperti itu, tidak memberi kesan pun kepada Amierul Ashraff ni lain pula jadinya. Tu la mulut tak reti nak cover, sekarang tanggunglah sendiri.
Damia dan Amira turut berlalu ke dapur untuk bersarapan, perutnya juga dah menyanyi lagu dangdut minta diisi. Dia melihat abang dan Amierul Ashraff berselera sekali menikmati nasi lemak buatan Alongnya. Along itu adalah mak longnya, sedari kecil lagi dia memang panggil mak longnya dengan panggilan 'along'. Yang pastinya bukan along kepada adik-adiknya, along ceti lagilah bukan. Heheheh...
Alongnya memang membuka gerai nasi lemak di tepi jalan. Sejak pak long Aziz berhenti kerja sebagai driver bas, itulah satu-satunya sumber rezeki Along dan pak long Aziz. Anaknya yang sulung sudah pun berjaya menjadi doktor gigi, Kak Isyah tu lah harapan Along dan pak long Aziz, tiga lagi anaknya masih di bangku sekolah, tetapi sesekali itu ada juga mereka membantu Along dan pak long Aziz di gerai. Damia dan Kak Isyah rapat juga, tetapi kalau dihadapan keluarga mulut Kak Isyah tidak banyak, cuma dengan dia dan Amira saja mulutnya macam murai tercabut ekor. Kata orang dia pun dua kali lima sepuluh juga, kalau tidak balas kata-kata orang bukan Puteri Damia Qaisara la namanya.
Walaupun begitu dia amat selesa dengan Kak Isyah. Bukan saja sekepala malah Kak Isyah juga seorang yang murah hati. Bila mereka keluar bersama, dah tentu Kak Isyah la yang akan menjadi mesin ATM bergerak, cakap saja mahu makan apa, Kak Isyah rela membayarnya. Bukan seperti Damia, disuruh belanja lolipop pun belum tentu dia akan belanja, silap-silap dia bagi gula-gula hacks yang seposen dapat dua. Teruk perangainya. Memang tak boleh buat bini langsung, apalah malang nasib Amierul Ashraff dapat Si Damia ni. Tetapi jika dihadapan tunangnya boleh pulak nak control cun.
Damia terdengar orang memberi salam. Hesy.. orang nak berangan sekejap pun tak boleh ada saja yang menganggu. Damia kenal sangat dengan empunya suara itu, siapa lagi kalau bukan pak cik Nan yang dia tidak berapa suka tu. Bukan dia mahu mengutuk bapa saudara sendri tetapi memang kenyataan. Pak cik Nan juga membuka gerai nasi lemak, tetapi up sikit la dari Along. Sikit aje tak banyak pun, kalau nak dikira pendapatan mereka sama aje. Terapi dia punya berlagak tu, aduhai macam dapat puluhan ribu satu hari!!. Macam dia punya nasi lemak sajalah yang laku, padahal bukan sedap pun, nasi lemak Along lagi sedap, tetapi pak cik Nannya menjadi salah seorang anak kesayangan tuknya. Apa-apa mesti nama pak cik nya itu yang disebutnya. Sampai naik muak dah Damia mendengarnya.
Tetapi kalau tuknya sakit tidak pula disuruh pak ciknya itu menjaganya. Sebaliknya Datin Sofea yang jauh duduk di KL itu yang disuruh telefonnya. Dia sendiri tidak mengerti dengan tuknya. Semua ini mula terjadi apabila pak cik Nannya menikah dengan mak cik Pah. Mak cik Pah lagi la terkenal dengan sifat 'queen control'nya dan kedekut macam Haji Bakhil, rasanya Haji Bakhil lagi murah hati dari dia. So faham-faham la dia punya kedekut tu tahap mana. Dia tu macam la murah hati sangat. Paku dulang paku serpih mengata orang dia pulak yang lebih.                
Bila time raya saja, Damia memang tidak mengharap pun duit raya dari mak cik Pahnya. Dia sudah faham benar dah, kalau tidak dua ringgit, tiga ringgit. Macam En. Crab dalam cerita kartun Spongebob Squarepants,pun ada  cukup pantang kalau ada yang ambil duitnya, baginya duit adalah segala-galanya, sama la dengan mak cik Pahnya, kalau tak ada duit boleh busung perut dia agaknya. Marah benar Damia dengan mak ciknya yang sorang tu. Selama ni pun dia dan Danish sudah cukup bersabar dengan perangai mak cik dan pakcik mereka itu, Amira juga turut bersabar, dia juga tidak berapa suka dengan suami isteri itu.
Danish lagilah, tinggal tunggu masa nak meletup saja, dia bagi peluang sekali saja lagi, sampai masanya,dia tidak kenal keluarga dah, dia cukup kenal dengan abangnya kalau dah mengamuk tu, siapa pun tidak berani bersuara, melainkan Datuk Saiful. Dia sendiri pun tidak berani bila melihat muka abangnya yang bengis macam nak telan orang hidup-hidup. Mengerikan!!. Senang cerita,boleh dikatakan hampir semua keluarga Datin Sofea tidak menyokong suami isteri itu, cuma tuknya saja yang suka sangat puji. Kalau puji sikit-sikit tak apalah juga ni puji melambung.
Damia menjawab salam pak cik Nan dalam hati. Dia sedikit pun tidak berminat nak memandang muka pak cik Nan. Dia mengambil bungkusan nasi lemak lalu terus disuap ke dalam mulutnya. Lazat!!. Amierul Ashraff heran dengan Damia, Amira dan bakal abang iparnya itu. Tadi elok saja, bila datang saja pak cik ni, terus muka masing-masing nak ganti John Cena dalam wrestling. Termasuk lah muka tunangnya, tadi bukan main manis lagi, ini dah macam isteri hulk, dahsyat! betul perubahannya.
"Ehemm..........Ehemm",Amierul Ashraff berdehem. Terasa sunyi pula meja makan itu. Rindu pula nak dengar suara Damia.
"Hang Nan bila sampai?", tanya tuk, sebaik sahaja melihat anak lelaki kesayangannya itu. Damia dan Amira saling berpandang dan mencebik panjang. Meluat mereka, lembut betul lenggok suara tuk bila bercakap dengan pak cik Nan. Sebaik sahaja menghabiskan bungkusan nasi lemak yang kedua, Danish minum air dan terus ke ruang tamu, malas dia mahu berlama-lama di situ. Bikin hati panas! aje. Langkahnya terhenti bila pak cik Nan menegurnya. Nak tunjuk baik pulak orang tua ni, kata Danish dalam hati.
"Bila Ash sampai?", tanya pak cik Nan cuba untuk beramah. Damia sudah faham benar dengan pak cik Nan. Tetapi ada kalanya pak cik Nan baik, cuma bila dia bersama dengan isterinya saja perangainya berubah 360 darjah.
"Semalam. Awat cik Nan nak buat kenduri untuk kami ka!?", perghhh..... ayat memang menusuk kalbu betul. Muka Danish selamba saja, malah siap senyum sinis lagi.
"Abang, cover la sikit, kalau abang tak nak hormat kat dia, sekurang-kurangnya hormat la tuk tu, bukan abang tak tau yang cik Nan tu anak yang dia tatang", tegur Damia perlahan. Memang dia sokong abangnya, tatapi hati tuknya kena jaga juga. Tuknya bukannya muda, dah tua dah pun, nanti marah punya pasal, kena heart attack pula. Abangnya pun satu, tak boleh nak kawal langsung ketidaksukaannya tu. Eh... ada ke dalam kamus, lantak la hemtam saja. Dia tidak mahu abangnya hilang hormat kepada tuk. Kalau dengan pak ciknya tak apa la sangat sebab perangainya memang akan buat orang berangin.
Damia dan Amira juga,terasa 'panas' berada di situ. Cepat-cepat mereka ke ruang tamu. Biarlah Danish sahaja yang melayan pak cik Nan, mereka malas nak jadi 'plastik' dekat situ. Amierul Ashraff semakin heran dengan mereka. Sekelip mata saja berubah. Nasib baiklah pak cik Nan tidak menegur mereka. Fuhh... selamat!!.
Danish melihat pak cik Nan membawa dua beg plastik berisi cili kering. Apa lagi nak suruh 'orang gaji', yang dah tak larat tu la buat. Siapa lagi kalau bukan tuk. Kalau tuk tak buat semua kerja pak cik Nan, tuk tidak akan mendapat duit, dengan membuat kerja-kerja pak cik Nan sajalah dia akan mendapat wang upahan. Damia teringat satu malam tu. Pak cik Nan ada berbahas dengan Datin Sofea tentang tanggungjawab, tetapi tanggungjawab dia sendiri, diabaikan. Masa tu, Danish bersabar saja, nasib baik imannya kuat, kalau tak dah lama dah pak cik Nan makan penampar sulung Danish. Danish sering mengingati nasihat mamanya, anak lelaki tidak akan terlepas dari tanggungjawab terhadap ibunya sehingga mati. Tetapi bila dilihat daripada perangai pak cik Nan memang dah cukup ciri-ciri nak jadi Si Tanggang.
"Ni sapa pulak mak, tak pernah tengok pun?", tanya pak cik Nan merujuk kepada Amierul Ashraff.
"Hemm.. tunang Mia", balas tuk ringkas. Tuk memanggil Amierul Ashraff bersama-sama menyertai mereka. Dengan sopan Amierul Ashraff menyalami tangan pak cik Nan. Pak cik Nan menyambut huluran Amierul Ashraff senang. Danish yang duduk di sebelah tuk , memandang ke arah lain, menyampah dia melihat kebaikan pak cik Nan. Bukan dia tidak tahu keluarga pak cik Nan bukan suka sangat dengan keluarga Datin Sofea. Danish meminta diri dulu, ditariknya tangan Amierul Ashraff, dia tidak mahu bakal adik iparnya terlalu layan sangat cakap pak cik Nan takut nanti tertipu. Mereka bersembang tentang business saja, ada la tu dalam kepala otak pak cik Nan. Nak bolot harta Amierul Ashraff apa. Hesy..... tak baik, buruk sangka. Dosa... dosa.
"Mesra abang Ash dengan cik Nan tadi, merapatkan hubungan silaturrahim ek?", sindir Amira. Geram Danish mendengar sindiran daripada sepupunya itu. Yang paling dia bengang, kenapa la dia jugak yang kena panggil. Damia dan Amira terlepas. Amierul Ashraff masih lagi tertanya-tanya.
"Hang jangan beb, kang tak pasal-pasal makan 'sup cabai kampung', 'kaw-kaw' punya buatan abang aku", ujar Damia setelah dia melihat muka masam abangnya.
"Bukan apa, aku bengang dengan cik Nan tu, sanggup dia tengok tuk yang dah tua tu buat semua kerja dia, apa dia ingat tuk kita kuli dia ka!", marah Danish, tetapi masih dikawal volume suaranya takut didengari oleh tuk. Damia dan Amira sokong 100%, apa yang dikatakan oleh Danish. Memang tepat sekali.
"Abang Ash jarang sekali tengok, yong ni, sampai naik berbulu dah mata ni, hari-hari, lepas tu longgok anak-anak dia dekat rumah tuk ni, apa dia ingat rumah tuk ni rumah tumpangan ke, yang tu tak apa la lagi, yang lagi 'panas'nya, buka nak hormat kita yang lagi tua ni, selamba aje dorang tu cakap pun macam samseng jalanan, sombong pulak tu, kalah anak Perdana Menteri!", Amira pula menyatakan ketidakpuasan hatinya. Kalau dah namanya sepupu tu, perangainya sama juga, sorang dah bersuara, anak buah turut bersuara. Masing-masing tak nak kalah.
"Tau tak pe, aku anak Datuk pun tak poyo macam dorang kan..? kan...?", Damia pula bersuara. Dia mengerdipkan matanya ke arah Amira, sempat lagi nak puji diri sendiri. Amira sudah mencebik mendengar ayat Damia, nak juga puji diri sendiri. Nasib la dapat sepupu macam ni.
"Daripada kita buat dosa kering pagi yang indah ini, better kita keluar sekarang boleh jugak sejukkan hati yang sedang membara tu", sambung Damia, sambil mengurut dada abangnya. Api jangan bermain dengan api, bila kecil boleh jadi kawan, tapi bila dah marak kawan pun dia tidak kenal siapa. Danish akur dengan kata-kata adiknya, dia meminjam kereta Datuk Saiful. Besar sedikit kalau nak dibandingkan dengan keretanya yang hanya muat untuk dua orang sahaja.
Danish menghidupkan enjin kereta, dan membuka penghawa dingin. Segar rasanya. Amierul Ashraff duduk di hadapan sebelah Danish. Amira dan Damia pula duduk di belakang. Senang nak bergosip. Cermat Danish memandu, menyokong kempen Pandu Cermat Jiwa Selamat. Bukan sepertinya jiwa dah tidak selamat dah, tinggal nak daftar masuk ke dalam Tanjung Rambutan saja ni. Sama saja seperti Amira, bila dua-dua dah berjumpa habislah, main saja banyak seriusnya tidak pernah.
"Bang saya nak tanya ni boleh?", barulah Amierul Ashraff berani bersuara setelah keadaan kembali reda. Danish menangguk. Dipandang sekilas wajah Amierul Ashraff. Danish sudah dapat mengagak soalan yang akan ditanya oleh Amierul Ashraff.
"Kenapa, Mia, abang dengan Mira tak suka dengan pak cik Nan tu". Danish tersenyum. Pasti soalan itu yang akan keluar.
"OKKB, tak payah nak suka sangat la, buat sakit hati aje", sampuk Amira. Sibuk nak jawab, bukan soalan untuk dia pun.
"Ha??, apa OKKB tu", Amierul Ashraff menggaru-garu kepalanya yang semakin gatal itu. Pening kepalanya, macam-macam ayat la yang dia dengar. Tunangnya pun sering
menggunakan ayat-ayat itu. Bila dah balik kampung, macam-macam perangai yang keluar daripada Damia. Kadang-kadang Amierul Ashraff sendiri pelik.
"Orang Kaya Kayap Baru", Damia gelak sebaik sahaja dia habis bercakap. Amira juga berjangkit penyakit gelak itu. Danish yang sudah lali dengan semua itu buat tidak tahu aje. Amierul Ashraff yang heran, entah apa la yang mencuit hati Damia dan Amira itu. Hampir meleleh airmata mereka.
"Hoi!!..., sudah la, kesian aku tengok muka Acap ni, elok-elok hensem, terus jadi macam budak terencat tengok korang", sergah Danish setelah dia melihat yang tiada tanda-tanda mereka mahu berhenti ketawa. Amierul Ashraff kembali mengawal maconya yang hilang gara-gara dua gadis manis itu. Amira dan Damia tersengih memandang Danish. Dua-dua manis saja, muka pun nak sama, cuma bentuk wajah Damia sedikit panjang berbanding dengan Amira yang bulat bentuk mukanya.
"Abang Ash je la yang cerita kang kitaorang cerita nanti merapu pulak", ujar Amira. Danish pun cerita la dari A sampai Z. Terangguk-angguk kepala Amierul Ashraff, fahamlah dia kini mengapa dan kenapa mereka tidak menyukai pak cik Nan.
Di belakang, Damia membelek-belek mukanya, ditambah sedikit bedak dan pelembab bibir, yang sudah pun berkurangan. Perempuan jugak rupanya. Amira juga idak lepas dari sesi make-up ini. Biasalah dulu cita-cita nak jadi mak andam tapi tak kesampaian, andam muka sendiri saja la. Tangan tak cukup lembut nak jadi mak andam. Kali ini Damia tidak tertidur dalam kereta kerana dia sudah puas tidur semalam lena lagi. Lagipun 'bantal' tiada di sebelahnya, kalau tidak lena jugak tu.
Mereka sudah pun sampai di Taiping Sentral, salah satu tempat wajib jika mereka mahu melepak. Di sini semuanya ada, tetapi tidaklah sehebat Sogo dan Pavilion, sekadar nak lepaskan tension boleh aje. Amira dan Damia, meluru ke pusat kareoke, lagi satu hobi mereka. Kalau duduk sorang-sorang berpuluh-puluh lagu yang mereka hafal, lepas tu memekak. Danish turutkan saja, dia juga sudah lama tidak test power suaranya.
"Hai.... dik, nak berapa lagu, satu lagu seringgit?", sapa penyambut tetamu itu ramah, cantik juga orangnya.
"Hai... kak, urmmm, 20 lagu la kak, kalau tak cukup nanti kitaorang tambah lagi tau abang baju biru tu yang bayar tau kak, okey kami masuk dulu, kalau akak dengar macam suara katak tu diam-diam sudah la", lurus jari telunjuknya ke arah Danish. Tak pasal-pasal ringgit malaysia 20 ringgit habis, ni semua gara-gara Damia, dia yang sibuk nak datang sini, duit abangnya juga yang kena keluar. Sampai 20 lagu pula tu. Peyambut tetamu tergelak kecil, malu pula Danish dengan perangai adiknya yang tidak kira tempat dan orang itu, main lepas saja.
Mereka memilih bilik yang agak belakang. Sebaik sahaja masuk ke dalam ruangan sederhana besar itu, pantas tangan Damia dan Amira mencapai microfon. Masing-masing berebut, nak menyanyi dulu. Pening kepala Danish nak mengawal kedua-duanya. Amierul Ashraff seakan kena pukau, tidak sangka perangai Damia yang sebenar kalut sungguh. Tetapi dia senang dengan perangai Damia yang betul, tidak perlu nak jaga percakapan sangat. Barulah dia tahu Damia merajuk bukan kerana terasa dengan kata-katanya tetapi mahu dipujuk. Manja.
Riuh ruangan itu dengan suara mereka. Puas Danish menegur tetapi tidak diendahkan oleh mereka. Macam-macam ayat keluar nak pujuk mereka satu pun tak berkesan. Amierul Ashraff pula cuba memujuk, selalunya Damia akan cair kalau dia yang pujuknya. Ayat yang keluar daripada mulut Amirul Ashraff lembut saja, romantik sungguh, seperti berbisik, tu yang membuat Damia cair, mudah kalah dengan pujuk rayu Amirul Ashraff. Hebat lelaki yang bernama Amirul Ashraff itu. Wahhh.... over pulak ayat. Heheheheh.....
Kata-kata Amierul Ashraff menusuk lembut di pendengaran telinga Damia. Amira juga tangkap cintan mendengarnya. Patut lah Si Damia ni gila sangat dengan mamat ni pandai mengayat rupanya, lembut sungguh pujukannya, perempuan yang tidak siuman sahaja yang tidak tangkap lentok dengan pujukan Amierul Ashraff. Gatal sungguh, budak dua orang ni, aku sekeh kepala sorang-sorang naya aje, kang jadi Shin Chan pulak, tau-tau benjol aje, ujar Danish dalam hati. Layan jugak kartun Shin Chan, nak buat macam mana itulah yang dikatakan hiburan.

No comments:

Post a Comment